Isra’ Mikraj merupakan mukjizat agung yang diberikan oleh Allah SWT
kepada Nabi SAW. Peristiwa ini berlaku dalam tempoh satu malam sahaja
dan ditemani oleh Jibrail AS. Allah SWT menjalankan Nabi SAW dari tempat
tidur baginda SAW iaitu di Mekah sehingga ke Baitul Maqdis dengan
menaiki buraq, kemudian bertemu dengan para nabi yang terdahulu dan
baginda mengimami solat secara berjemaah. Selepas itu Nabi SAW diangkat
ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT.
Peristiwa ini berlaku dalam keadaan sedar dan Nabi SAW dibawa jalan
sehingga naik ke Sidratul Muntaha dalam keadaan berjasad dan roh, bukan
hanya roh sahaja. Ini merupakan pendapat majoriti ulama berkenaan
mukjizat mengenai peristiwa Isra’ Mikraj.[1]
Peristiwa ini disebutkan di dalam Al-Quran pada 2 tempat iaitu :
1- Dalam Surah Al-Isra’ pada ayat yang pertama, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya
(Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang
Kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan keadaanya tanda-tanda
(kekuasaan dan kebesaran) Kami.”
2- Dalam Surah An-Najm pada ayat ke-18, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (kebesaran dan keagungan) Tuhannya.”
Tanda-tanda yang besar di sini ialah ketika peristiwa Isra’ Mikraj.
Nabi SAW telah diperlihatkan mengenai keadaan ahli-ahli syurga dan
neraka. Dan Nabi SAW telah bertemu dengan Allah SWT.
Antara seksaan yang perlihatkan kepada baginda SAW yang menimpa ke atas ahli-ahli neraka ialah :
1- Balasan mengumpat. Nabi SAW melihat mereka yang melakukan dosa mengumpat di dalam neraka memakan bangkai-bangkai.
2- Balasan memakan harta anak yatim secara zalim dan batil. Mereka
dikenakan seksaan dengan memakan bara-bara api sehinggalah terkeluar
semula bara api tersebut dari dubur mereka, dan mereka akan
mengulanginya semula, sehinggalah tamat tempoh seksaan mereka atas dosa
memakan harta anak yatim secara zalim
3- Dosa orang yang memakan riba’. Perut mereka dipenuhi dengan ular-ular yang hidup yang keluar masuk dari perut mereka.
Dan juga dosa-dosa lain seperti zina, orang yang tidak mahu
menunaikan zakat, orang yang melakukan fitnah dan tidak melaksanakan
amanah dengan baik. Selain itu Nabi SAW juga diperlihatkan dengan
ganjaran bagi mereka yang berjihad di jalan Allah iaitu baginda SAW
melihat sekumpulan manusia yang menanam tanaman kemudian menuai dan
mendapatkan hasil pada kemudian hari. Jibrail berkata :
“Mereka itulah orang yang berjihad di jalan Allah, digandakan bagi mereka pahala sebanyak 700 kali ganda.
0 comments:
Post a Comment